TOPIK 9 SELF-MANAGED TEAMS (PASUKAN PENGURUSAN KENDIRI)

 

ARIFF HIDAYAT BIN OSMAN
PPP153005
REFLEKSI MINGGUAN
UHPS6013-02 DINAMIKA KEPIMPINAN
(DYNAMICS OF LEADERSHIP)

TOPIK 9
SELF-MANAGED TEAMS (PASUKAN PENGURUSAN KENDIRI)


Pengenalan

Pasukan Pengurusan Kendiri merupakan suatu kumpulan yang beroperasi tanpa pengawasan dari pihak pengurusan organisasi. Ahli dalam kumpulan ini dikatakan mempunyai komitmen dan kepuasan kerja yang tinggi. Hal ini mungkin disebabkan kepercayaan yang diberikan kepada majikan terhadap mereka menjadikan kumpulan ini bermotivasi tinggi. Ia berkaitan dengan pengiktirafan yang diperolehi membezakan mereka dengan staf lain di dalam organisasi.

Sudah pasti Pasukan Pengurusan Kendiri terdiri dari staf yang mempunyai kemahiran teknikal yang pelbagai. Dalam pada masa yang sama mempunyai pengalaman yang banyak dalam menguruskan pelbagai projek dan proses kerja bagi pihak organisasi. Kelebihan sebegini menjadikan Pasukan Pengurusan Kendiri merupakan aset penting dalam sebuah organisasi.

Mereka diberikan "kuasa"untuk mebuat keputusan struktur dan operasi. Mereka seolah-olah diberi kepercayaan penuh oleh majikan untuk menjalankan apa jua proses kerja bagi membolehkan sasaran organisasi tercapai. Secara kesimpulannya mereka bertanggungjawab dan terlibat pada beberapa keputusan penting yang berlaku dalam organisasi.


Kelebihan Mempunyai Pasukan Pengurusan Kendiri

Pada pendapat saya, pasukan seperti ini perlu ada dalam sesebuah organisasi bagi mewujudkan perasaan komitmen dan kepunyaan yang kuat terhadap organisasi dalam kalangan pekerja. Komitmen dan perasaan kepunyaan memainkan peranan besar dalam memberi dorongan kepada para pekerja untuk memberikan lebih usaha dalam mencapai sasaran organisasi. Pekerja yang bermotivasi bukan sahaja akan memastikan sasaran organisasi tercapai malah ia akan mewujudkan suasana kerja yang produktif. 

Pasukan Pengurusan Kendiri akan dapat meningkat kualiti produktiviti apabila semua perancangan kerja dibincang bersama dan mencapai kata sepakat secara kolektif. Apabila perbincangan secara berpasukan dibuat maka lebih banyak isu akan dapat dikenalpasti dan pelbagai intervensi dapat disesuaikan. Hal ini secara tidak langsung menerbitkan lebih banyak inovasi yang memudahkan pengurusan kerja organisasi.

Melalui kelebihan yang ada pada Pasukan Pengurusan Kendiri, ia jelas membuktikan bahawa kemahiran dan pengetahuan mereka sangat dihargai dalam organisasi. Apabila individu rasa dihargai dan seronok bekerja dalam organisasi maka isu ponteng kerja, ketidakhadiran staf dapat diminimumkan. Seterusnya mengurangkan masalah pemberhentian kerja staf selepas dilatih dan dibimbing. Keadaan ini amat menguntungkan organisasi apabila mereka tidak perlu mengeluarkan lebih banyak modal untuk memantapkan kemahiran staf yang baru malah dapat mengekalkan staf cemerlang yang sedia ada.

Meningkatkan Keberkesanan Pasukan Pengurusan Kendiri

Dalam usaha majikan meningkatkan keberkesanan Pasukan Pengurusan Kendiri, perlu dipastikan ada perubahan budaya, struktur dan suasana yang menyokong. Sokongan yang diberikan oleh majikan boleh dalam bentuk pengiktirafan, penghargaan, penyediaan ruang kerja yang baik dan penglibatan staf adalam aktiviti berkaitan penetapan sasaran organisasi. Majikan perlu mahir dalam penerapan ganjaran intrinsik dan ekstrinsik yang boleh mendorong motivasi pekerja.

Majikan perlu memastikan Pasukan Pengurusan Kendiri mempunyai visi yang jelas tentang sasaran kerja organisasi. Majikan perlu telus dengan keberhasilan dan kelebihan yang bakal diperolehi dari kejayaan program yang dijalankan. Hal ini menjadikan Pasukan Pengurusan Kendiri faham dengan lebih baik dan telus tentang manfaat yang bakal diperolehi dan seterusnya terdorong untuk berusaha lebih baik.

Pasukan Pengurusan Kendiri perlu diberikan kebebasan masa kerja yang fleksibel tetapi dalam masa yang sama dipantau keberhasilan proses kerja. Dalam aspek pengurusan masa, majikan hanya perlu menetapkan tarikh akhir projek dan tidak membebankan pasukan pemikir yang sedia ada dengan penambahan kerja yang kurang berkepentingan.

Majikan perlu menyediakan latihan yang mencukupi bagi individu yang berpotensi supaya Pasukan Pengurusan Kendiri yang ada mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang optimum. Staf yang berkemahiran dan berpengetahuan merupakan aset berharga dalam sesebuah organisasi. Mereka perlu sentiasa diberikan dorongan dan penghargaan agar kelebihan yang ada pada mereka dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga organisasi.

 

No comments:

Post a Comment